Monday, April 30, 2007

Seminggu di Adelaide

ADELAIDE, DESTINASI PERCUTIAN INDAH DAN UNIK
Menyusuri dan menikmati keindahan alam, sejarah dan mengunjungi pelbagai tempat menarik di Adelaide sememangnya sukar untuk dilupakan. Seminggu berada di sana bagaikan tidak mencukupi. Apa tidaknya, di sini terdapat pelbagai tempat menarik yang boleh kita lawati. Biarpun tidak berkesempatan untuk mengunjungi semua tempat-tempat menarik itu, namun hati berasa puas. Pengalaman seminggu itu telah meninggalkan seribu kenangan dan pengetahuan yang cukup berharga.

JOLOKAN BANDAR 20 MINIT

Hati berasa begitu teruja tatkala menjejakan kaki di bumi yang terkenal dengan Kangaroo itu.Udara segar bumi Adelaide dihirup dalam. Terasa nyaman dan segar sekali walaupun cuaca agak panas. Jam di tangan menunjukkan 9.30 pagi waktu di Adelaide. Di lapangan terbang Adelaide, Neil daripada Prime Mini Tours sudah menunggu dengan van yang menjadi pengangkutan rasmi sepanjang berada di sana. Dengan layanan mesra dan ramah Neil bertindak sebagai pemandu pelancong. Selepas semua siap sedia, Neil membawa kami rombongan media dari Malaysia dan Singapura ke destinasi penginapan iaitu di Majestic Roof Garden Hotel

Terletak di Frome Street, hotel di tengah bandar yang bertaraf 4.5 bintang ini mempunyai keunikkan tersendiri. Kedudukan berhampiran dengan pusat bandar juga memudahkan kami meninjau persekitarannya. Jika perut terasa lapar, di sekitarnya terdapat beberapa restoran dan bar yang menyajikan pelbagai makanan lazat. Apa yang menarik, sekiranya anda menginap di sini, jangan lupa untuk mengunjungi sebuah taman yang terletak di atas bumbung hotel.

Walaupun Adelaide sebuah bandar kecil dengan populasi penduduk lebih kurang 1.1 juta orang dan tidak sesibuk seperti bandar raya Sydney, namun Adelaide mempunyai keunikan dan tarikan tersendiri. Selain dapat menikmati keindahan alam, reka bentuk arkitektur lama yang masih terjaga rapi, sejarah serta keramahan penduduknya menjadikan percutian anda di Selatan Australia meninggalkan kenangan terindah. Menariknya, buat kaki shopping, di sini juga merupakan destinasi membeli-belah yang menyeronokkan.
Bangunan unik dan indah

Terkenal dengan jolokan nama bandar 20 minit, jarak perjalanan dari satu tempat ke satu tempat di Adelaide sememangnya mengambil masa hanya 20 minit dengan menggunakan kenderaan. Walaubagaimanapun, sekiranya anda mahu menikmati keindahan rekaan bangunan dan permandangan sambil merakam gambar, berjalan kaki adalah pilihan yang tepat. Mana tidaknya, setiap langkah anda akan disajikan dengan permandangan dan arkitektur yang indah serta unik.

Cuaca panas tidak mematahkan hasrat hati untuk mengunjungi beberapa tempat menarik di sekitar Adelaide. Victoria Square yang terletak di tengah-tengah bandar Adelaide sibuk dengan aktiviti manusia berbilang bangsa dan lalu-lalang kenderaan. Kawasan padang yang luas itu bukan sahaja menarik dengan permandangan bangunan di sekitarnya tetapi sesuai dijadikan tempat untuk beristirehat. Ada yang berkumpul di bawah redup pokok sambil membaca dan melihat burung merpati jinak berterbangan. Di sini juga menjadi tempat hentian di mana terdapat stesen tram yang membawa penumpang merentasi Adelaide ke Glenelg, hentian bas percuma. Terdapat juga air pancur yang menjadi simbol kepada tiga sungai utama di Selatan Australia. Tidak jauh dari situ teguh berdiri bangunan Torrens yang menempatkan Muslim Womens Association of South Australia Inc, bangunan Adelaide Town Hall di King William Street yang menjadi tempat diadakan persembahan simponi, teater, tarian dan sebagainya.

Tidak berapa jauh dari Victoria Square, terdapat sebuah masjid tertua di bandar Adelaide. Menurut Nadia iaitu pekerja sukarela daripada Muslim Womens Association of South Australia Inc, masjid yang terletak di Little Gilbert Street itu kini mencecah usia lebih seratus tahun. Ia di bina pada tahun 1885 oleh pendatang Islam Afghanistan. Masjid tersebut menjadi pusat pendidikan dan pengetahuan kepada minoriti Islam di Selatan Australia dan juga orang bukan Islam. Menurut Nadia lagi, di sini diadakan kelas untuk menyampaikan maklumat agar tidak timbulnya sikap prejudis agama lain terhadap Islam. Kebetulan ketika lawatan penulis ke sini, sekumpulan kanak-kanak sekolah diberikan penerangan mengenai Islam. Bersebelahan dengan masjid, terdapat pula sebuah kedai cederamata dan perhiasan rumah yang dimiliki oleh orang Maghribi. Penulis singgah sebentar untuk melihat keunikkan barangan yang dihasilkan sendiri oleh pemilikinya serta di bawa khas dari Maghribi.

Jika berada di tengah-tengah bandar Adelaide, jangan lupa untuk mengunjungi Adelaide Central Market. Satu destinasi membeli-belah bagi pecinta makanan. Terletak di Gouger Street, Adelaide Centre Market menjual bukan sahaja barangan basah seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan daging, tetapi di sini juga terdapat makanan atau barangan unik dan istimewa Selatan Australia. Penulis tidak melepaskan peluang untuk menikmati yogurt yang diperbuat daripada buah Rasberi segar. Memang lazat. Luangkan masa ke sini untuk melihat kesibukan aktiviti jual beli setiap hari Selasa, Khamis, Jumaat dan Sabtu.

Restoran Orang Malaysia

Makanan pelbagai negara

Berhampiran dengan Adelaide Centre Market, anda boleh menyusuri jalan berhampiran di mana terletaknya Chinatown. Biarpun tidak sehebat Chinatown di bandar-bandar lain di dunia, namun Chinotown di sini mempunyai keunikan tersendiri. Bagi anda yang ingin menikmati hidangan dari pelbagai negara, di sekitarnya terdapat beberapa buah restoran dan kafe yang menyediakan masakan Thailand, Vietnam, Malaysia, Jepun, China, Perancis dan juga Argentina. Kini telah banyak restoran yang menyediakan hidangan dan masakan halal seperti di A Taste Of Spice, sebuah restoran rakyat Malaysia. Selain A Taste Of Spice, anda boleh menikmati hidangan halal di beberapa restoran lain yang ada di Adelaide. Antaranya Taste of Cashmere, Quiet Water Lebanese restaurant, Babylon Restaurant, Naan Tandoori, Mekong Thai Restaurant dan lain-lain lagi.

Untuk membeli-beli, berkunjunglah ke Rundle Mall yang terletak di Rundle Street dan menempatkan hampir 600 buah pusat jualan. Di sini terdapat pusat membeli-belah seperti David Jones, Myer dan 160 buah butik fesyen pakaian serta aksesori. Tidak beberapa jauh dari situ terdapat sebuah bangunan menarik dan unik yang menjual pelbagai perisa coklat iaitu Haigh’s Chocolates. Menariknya, Haigh’s merupakan coklat tertua yang dihasilkan dan hanya dijual di Australia.

Hanya mengambil masa 20 minit perjalanan dari bandar Adelaide, satu lagi lokasi membeli-belah yang boleh dikunjungi di sini adalah Harbour Town.Terletak berhampiran dengan Lapangan Terbang Adelaide, Harbour Town merupakan satu-satunya pusat membeli-belah di Adelaide yang berkonsepkan ‘mampu beli’ menjual pelbagai barangan berjenama pada harga rendah. Setiap masa ada sahaja jualan murah. Di sini anda boleh membeli pakaian atau aksesori pada harga diskaun sehingga 70 peratus. Manakala bagi yang ingin memiliki barangan antik, barangan terpakai atau kraf dan cederahati, tempat yang mesti dikunjungi juga adalah Fishermen’s Wharf Market yang terletak di Port Adelaide.

TERPESONA DENGAN KEINDAHAN TAMAN DAN PANTAI
Bandar Adelaide bukan saja boleh di lihat dengan jarak dekat tetapi juga pada jarak yang jauh. Sekitarnya anda ke Utara Adelaide, jangan lupa untuk singgah sebentar di Montefiore Hills. Di sini anda boleh melihat pusat bandar Adelaide yang terancang. Terdapat juga tugu peringatan sebagai tanda di mana Kolonial William Light merancang dan menentukan kedudukan pembinaan bandar Adelaide sekitar pada tahun 1836. Berdekatan dengan tugu peringatan tersebut, kita dapat melihat seni bina kediaman dan bangunan lama yang menjadi tempat tinggal golongan kaya.

Walaupun di tengah bandar, Adelaide masih mengekalkan kehijauan alam. Di sini terdapat kawasan taman tertua di Adelaide dengan aliran sungai Torrens. Jika ingin menikmati permandangan indah di sepanjang sungai, anda boleh menaiki bot Popeye atau Gendola. Di sepanjang sungai anda boleh melihat keunikan bangunan Festival Centre, Convention Centre, Universiti Adelaide serta kawasan berjalan kaki yang menarik. Penulis sempat juga menyusuri sungai ini sambil menyaksikan hidupan di tepi sungai seperti itik, bangau, angsa dan mendengar penerangan oleh pemandu bot. Selain di Montefiore Hills, seluruh Adelaide boleh dilihat pada ketinggian 2329 kaki di Mount Lofty iaitu menjadi kawasan paling tinggi di Adelaide.


Glenelg bandar peranginan
Adelaide bukan sahaja terkenal dengan keindahan bandarnya tetapi juga dengan keindahan pantai. Ini adalah salah satu daya tarikan pelancong untuk datang ke sini. Tidak hairanlah beberapa bandar kecil di Adelaide menjadi bandar peranginan. Salah satu yang terkenal di Adelaide adalah Glenelg. Terletak di tepi pantai, Glenelg merupakan sebuah bandar lama. Berdasarkan catatan sejarah, bandar Glenelg telah di buka oleh bangsa Eropah sekitar awal tahun 1800. Di sinilah tempat mula-mula bangsa Eropah mendarat dan seterusnya membina Adelaide sehingga menjadi sebuah ibu negeri. Kebanyakan penduduk di sini terdiri daripada warga tua. Di sini terdapat beberapa resort menarik yang menawarkan harga berpatutan. Jika ke sini, anda bukan hanya berpeluang untuk bermandi-manda di pantai yang bersih dan selamat, tetapi juga dapat menyusuri kaki lima kedai, restoran, butik pakaian, kafe dan sebagainya dengan rasa gembira. Bandar lama mendapat sentuhan baru yang begitu segar dan unik. Jadi tidak hairanlah jika hampir puluhan ribu pelancong datang ke sini setiap tahun.

Tidak beberapa jauh dari Jetty Road iaitu di kawasan pembangunan resort dan kediaman baru, terdapat sebuah marina yang dikenali sebagai Holdfast Shores Marina. Di sini bukan sahaja menempatkan beberapa kediaman kondominium, restoran dan resort tetapi terdapat beberapa aktiviti menarik turut disediakan kepada pelancong. Antaranya Temptation Sailing iaitu aktiviti melihat dan berenang bersama dolfin di habitat semulajadinya. Bagi penulis, tiga jam menaiki bot khas ke tengah laut untuk melihat sendiri doflin yang berenang menghampiri bot meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan. Mana tidaknya, pengalaman sebegitu tidak pernah dilalui di negara sendiri.
Seronok menaiki Horses Tram

Selain Glenelg, sebuah lagi bandar di tepi pantai yang terkenal di Adelaide adalah Victor Horbor. Terletak di Fleurieu Peninsula, jarak Victor Horbor dari bandar Adelaide adalah lebih kurang 80 km kira-kira 1 jam perjalanan. Penulis dibawa oleh Roz Becker daripada South Australia Tourism Commision menerokai beberapa tempat menarik di situ. Sebagai sebuah bandar yang menjadi lokasi kegiatan maritim dengan populasi
sekitar 12,000 orang dan meningkat hampir 30,000 orang ketika musim panas, Victor Horbor terkenal dengan pusat percutian tepi pantai yang menenangkan. Di sini bukan sahaja dikelilingi permandangan pantai dan air laut biru kehijauan, bangunan lama ketika zaman kolonial tetapi beberapa aktiviti juga boleh dilakukan. Berjemur di pantai ketika musim panas, meluncur ombak, menyelam meyaksikan hidupan laut, berbasikal di tepian pantai atau berkhemah bersama keluarga, anda yang tentukan kerana semua itu boleh dilakukan di sini.


Satu lagi daya tarikan yang terdapat di Victor Horbor adalah Horses-drawn tram, iaitu pengangkutan yang digunakan untuk menyeberang ke Granite Island. Penulis tidak melepaskan peluang menaikinya. Ketika di Granite Island, penulis berpeluang menyaksikan beberapa ekor peguin kecil yang ditempatkan di Penguin Centre. Pusat itu menempatkan beberapa ekor peguin yang menjalani proses pemulihan akibat cedera sebelum dilepaskan semula ke habitat asalnya. Bukan itu sahaja, jika berkesempatan penguin kecil ini boleh dilihat di waktu malam naik ke darat dan akan ke kawasan pusat tersebut. Di Penguin Centre juga, anda bepeluang menyaksikan video penerangan mengenai kehidupan penguin. Percayalah, jika ke Victor Horbor anda akan dijanjikan dengan suatu pengalaman yang menyeronokkan.